AGONG BANGGA RAKYAT MALAYSIA BERGANDING BAHU PAMER SOLIDARITI ISU PALESTIN

(GAMBAR FAIL) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berangkat menyaksikan persiapan akhir bagi penghantaran bantuan kemanusiaan Op Ihsan untuk rakyat Palestin di Gaza, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Dis tahun lepas. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan).
28/01/2024 01:04 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga dengan rakyat Malaysia yang terus bangkit menyatakan solidariti membantu rakyat Palestin yang menderita akibat tindakan zalim rejim Zionis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin berkata Seri Paduka juga bersyukur dengan semangat ditunjukkan rakyat yang berganding bahu menghulurkan bantuan kemanusiaan antaranya ubat-ubatan, pakaian, barangan keperluan bayi, selimut dan makanan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin ketika temu ramah dengan Bernama di Istana Negara baru-baru ini.

Beliau berkata momen itu disaksikannya sendiri semasa Seri Paduka menyempurnakan persiapan penghantaran bantuan kemanusiaan Op Ihsan untuk rakyat Palestin di Gaza, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Dis tahun lepas.

“Kalau rakyat Malaysia boleh lihat reaksi Seri Paduka semasa tinjauan persiapan Op Ihsan itu, baginda begitu teruja melihat sokongan dan solidariti rakyat yang ditonjolkan melalui penghantaran barangan bantuan ke Palestin,” katanya dalam temu ramah dengan Bernama di Istana Negara baru-baru ini.

Zahari berkata perasaan bangga dan syukur Al-Sultan Abdullah kepada rakyat Malaysia turut dizahirkan baginda kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga hadir semasa penghantaran barangan itu.

(GAMBAR FAIL) Ribuan orang ramai berarak sambil membawa bendera Palestin dan sepanduk sebagai tanda menyatakan solidariti terhadap rakyat negara itu pada Himpunan 10,000 Solidariti Palestin.

“Baginda sangat bersyukur kepada rakyat Malaysia yang bersolidariti memberikan bantuan dan sumbangan, selain berharap agar barangan keperluan termasuk makanan, perubatan dan pakaian itu dapat dihantar terus kepada mereka yang memerlukan di Palestin,” katanya.

Semasa kerajaan bersetuju untuk menghulurkan bantuan kepada Palestin, Zahari berkata Seri Paduka telah menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha itu.

“Apabila perkara ini dinyatakan oleh pihak kerajaan, Tuanku begitu teruja untuk melihat persiapan dan penghantaran barangan bantuan. Seri Paduka ada beri nasihat berhubung penghantaran barang bantuan dan menggunakan platform baginda di luar negara, untuk memastikan bantuan itu sampai ke Palestin.

Gambar fail

“Sebab itu, pada 18 Dis dalam Op Ihsan, sewaktu penghantaran barang sebanyak 60 tan, Al-Sultan Abdullah turut berangkat ke kargo KLIA untuk melihat sendiri barangan dan persiapan itu sebelum ia diterbangkan ke Mesir (kemudian disalurkan kepada penduduk Palestin di Gaza),” katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai persiapan keberangkatan balik Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang, Zahari berkata petugas Istana Negara begitu sedih menghitung hari-hari terakhir kerana begitu banyak memori dicipta bersama pasangan diraja itu.

Zahari yang sebelum ini berkhidmat sebagai Panglima Briged Markas Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) pada 2021 hingga 2022 berkata hal ini kerana Seri Paduka berdua begitu mesra rakyat dan sentiasa berkongsi pengetahuan, pengalaman dan memberi tunjuk ajar cara untuk mentabdir atau melakukan sesuatu perkara.

“Contohnya, Raja Permaisuri Agong berkongsi dengan tukang masak cara memasak, Seri Paduka pula berkongsi pengalaman mentadbir … jadi persiapan (keberangkatan balik) ini buat kami rasa sedih kerana akan berpisah dengan Seri Paduka berdua yang banyak memberi nasihat selama lima tahun ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan istiadat keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke Pahang pada 30 Jan ini dilaksanakan sebaik mungkin sebagai tanda penghargaan kepada pasangan diraja itu.

Menurutnya, Istana Negara juga akan mengadakan satu sesi bersalaman bersama Seri Paduka berdua pada 29 Jan ini.

Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Jan ini.

-- BERNAMA