TUNKU MAHKOTA ISMAIL BERANGKAT TUNAI SOLAT JUMAAT BERSAMA RAKYAT ESOK

Kredit: The Royal Johor
01/02/2024 06:16 PM

JOHOR BAHRU, 1 Feb (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim akan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Abu Bakar di sini esok.

Menurut hantaran di laman Facebook The Royal Johor, ini adalah kali pertama baginda berangkat menunaikan solat Jumaat selaku Pemangku Sultan Johor bersama rakyat di negeri itu.

“Raja Muda Johor Tunku Iskandar Tunku Ismail juga akan berangkat sama mengiringi baginda. Allah Peliharakan Sultan,” menurut hantaran itu.

Tunku Mahkota Ismail dilantik Pemangku Sultan Johor pada 28 Jan lepas susulan pelantikan ayahanda baginda Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang telah berangkat ke Istana Negara semalam.

-- BERNAMA