RAJA PERMAISURI AGONG SAMPAIKAN SUMBANGAN AIDILFITRI KEPADA 500 PENERIMA

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Komuniti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Institusi Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) Bandar Tun Razak hari ini. Turut hadir isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa (dua, kiri).
01/04/2024 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan kepada 500 komuniti miskin tegar dan miskin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersempena dengan Aidilfitri di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Komuniti WPKL 2024 itu, diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Pada majlis berkenaan, Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai berserta kuih raya dan baucar barangan keperluan harian selain menyantuni penerima yang hadir. 

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Komuniti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Institusi Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) Bandar Tun Razak, hari ini.

Majlis berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi meringankan beban golongan sasar dalam membuat persiapan sambutan Aidilfitri. 

Kesemua penerima sumbangan pada hari ini dipilih mengikut keutamaan dalam data eKasih.

Terdahulu, Dr Zaliha dalam ucapannya berharap bantuan yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda itu dapat meringankan beban komuniti WPKL dalam membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Komuniti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Institusi Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) Bandar Tun Razak, hari ini.

“Mengambil pendekatan ikhtiar Malaysia MADANI, antaranya nilai ihsan, hari ini sumbangan akan memanfaatkan 500 keluarga miskin dan miskin tegar di WPKL dan inilah perkongsian rezeki yang akan memberi manfaat,” katanya. 

Sementara itu, penerima bantuan Jamaliah Adnan, 64, dari PPR Taman Mulia menjunjung kasih atas sumbangan berkenaan yang akan digunakan untuk membeli barang basah bagi persiapan juadah pada pagi Syawal.

Seorang lagi penerima Rosnah Mat, 68, dari Flat Seri Sabah pula menzahirkan rasa syukur kerana dapat menggunakan sumbangan itu bagi membeli baju raya.

“Saya akan guna untuk beli baju raya dalam talian yang sudah lama saya idamkan tetapi tidak berkesempatan untuk beli, jadi ada rezeki sumbangan Raja Permaisuri Agong ini boleh beli dan pakai untuk raya pertama nanti,” katanya. 

-- BERNAMA