AGONG, RAJA PERMAISURI BERKENAN TUNAI SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI SURAU UTAMA ISTANA NEGARA

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama di Istana Negara hari ini. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri- Menteri Kabinet. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
10/04/2024 10:38 AM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara di sini hari ini. 

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8.23 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri. 

Solat sunat Aidilfitri berkenaan dipimpin Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama di Istana Negara hari ini. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ini kali pertama Seri Paduka Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Hakikat Kemenangan’ dibacakan Munir antaranya menyeru umat Islam agar memanfaatkan keberkatan Aidilfitri untuk memperbaiki hubungan persaudaraan sesama anggota masyarakat.

Selain itu, hari raya juga merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki hubungan sesama umat Islam dan meninggalkan budaya label-melabel, caci-mencaci dan tuduh-menuduh sesama sendiri.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara hari ini. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Hakikatnya kita semua bersaudara. Terkadang dipecahkan oleh hal-hal yang sangat remeh namun membawa kesan berpanjangan. Maka berusahalah memperbaiki hubungan sesama umat Islam atau kita  berusaha menjadi pendamai kepada umat Islam yang berselisih,” katanya.

Selepas selesai solat sunat itu, Seri Paduka Baginda bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Solat berkenaan disertai kira-kira 200 jemaah.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berkenan bersalaman dengan hadirin yang  berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri, Anggota Jemaah Menteri, Timbalan-timbalan Menteri dan Dif Kenamaan.

-- BERNAMA