HANTARAN HINA AGONG: JAINJ DIMINTA SEDIA KHUTBAH KHAS KEPENTINGAN DOA SESAMA MUSLIM

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.
16/04/2024 04:37 PM

KOTA TINGGI, 16 April (Bernama) -- Kesal dengan hantaran tular seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini, Kerajaan Johor telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk menyediakan draf khutbah solat Jumaat khas berhubung pengisian tanggungjawab mendoakan sesama muslim.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata hantaran individu terbabit yang mendakwa tidak menadahkan tangan ketika doa dibacakan untuk Yang di-Pertuan Agong selepas khutbah solat Jumaat, dikhuatiri akan mewujudkan budaya yang akan diikuti umum.

“Kita bertanggungjawab untuk mendoakan sesama Muslim dan ia satu kewajipan, apatah lagi kepada pemimpin sebab pemimpin turut mendoakan kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) di Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hantaran tular itu.

“Saya telah pun mengarahkan JAINJ dan kebiasaannya khutbah Jumaat telah pun disiapkan untuk tempoh sebulan tetapi apabila ada isu-isu khas seperti ini, kita akan mohon untuk disiarkan secara khas mengikut keperluan.

“Saya percaya dalam tempoh dua minggu ini draf khutbah tersebut akan dilaksana supaya nanti ia dapat diedarkan kepada semua khatib,” katanya.

Pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama “Hezry Yasin” dalam hantarannya baru-baru ini  mendakwa tidak menadahkan tangan ketika doa dibacakan untuk Yang di-Pertuan Agong dan keluarga diraja selepas khutbah solat Jumaat di sebuah masjid di Johor.

Pemilik akaun itu turut mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu serta memperjuang dan mempertahan Islam ketika agama diancam.

Semalam, Ketua Polis Johor CP M Kumar dalam kenyataan dilapor sebagai berkata pihaknya telah menerima sebanyak 36 laporan berhubung hantaran itu.

“Kesemua pengadu (babitkan 36 laporan polis) telah dirakam percakapan dengan semua rakaman berkenaan diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya.

-- BERNAMA