Raja Permaisuri Agong Ziarah Jenazah Dua Anggota Polis Di Ipk Johor

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (depan tiga kiri) berkenan mengaminkan doa untuk jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (depan dua, kiri). Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam itu kemudiannya akan dibawa ke kampung halaman masing-masing iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
18/05/2024 04:50 PM

JOHOR BAHRU, 18 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan untuk berangkat menziarah jenazah dua anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan di balai polis Ulu Tiram awal pagi semalam, di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.

Seri Paduka Baginda yang berangkat tiba pada 11.37 pagi turut meluangkan masa menyantuni ahli keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, selepas solat jenazah.

Sementara itu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim memaklumkan bahawa Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda buat kedua-dua keluarga.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga, kiri). Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam itu kemudiannya akan dibawa ke kampung halaman masing-masing iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengurusan jenazah dua perwira negara itu dilaksanakan dengan adat Istiadat Kepolisan, dan ratusan anggota serta pegawai polis menunaikan solat jenazah itu, yang turut disertai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Terdahulu jenazah kedua-dua anggota polis itu tiba di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil IPK Johor dari Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selepas proses bedah siasat.

Usai solat jenazah, dua keranda yang ditutupi Jalur Gemilang itu dibawa masuk ke van jenazah dengan penuh penghormatan, dan kedua-dua jenazah dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing pada 11.55 pagi ini untuk urusan pengebumian.

Imam daerah Johor Bahru Muhammad Nazri Ali, 54, mengimamkan solat jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam itu kemudiannya akan dibawa ke kampung halaman masing-masing iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Allahyarham Ahmad Azza Fahmi, 22, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor, Perak manakala Allahyarham Muhamad Syafiq, 24, di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang.

-- BERNAMA

 

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (enam, kiri) berkenan memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (lima, kiri) dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (tiga, kiri). Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam itu kemudiannya akan dibawa ke kampung halaman masing-masing iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA