Raja Permaisuri Agong Lawat Anggota Polis Cedera Di Hospital Sultan Ismail

Kredit : Fb Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
18/05/2024 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan melawat Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram semalam. 

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda melawat Mohd Hasif yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Keberangkatan Raja Zarith Sofiah di HSI disambut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Raja Zarith Sofiah turut mengurniakan sumbangan peribadi daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda kepada Mohd Hasif selain meluangkan masa menyantuni isteri anggota polis berkenaan.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi Jumaat, tiga maut iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek yang berumur 21 tahun.

-- BERNAMA