AZZMI PUAS HATI PERSEMBAHAN NSFC MESKIPUN TEWAS 1-3 DENGAN JDT

Ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan Football Club (NSFC) Azzmi Ab Aziz
19/05/2024 12:58 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Mei (Bernama) -- Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) Azzmi Ab Aziz berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun tewas 1-3 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi. 

Beliau berkata skuad Hobin Jang Hobin itu dilihat berjaya mengekalkan mentaliti menyerang walaupun ketinggalan 0-2 seawal minit ke-17 permainan.

Beliau menganggap kekalahan menentang skuad Harimau Selatan itu merupakan pengalaman berharga yang akan membantu meningkatkan kualiti permainan anak buahnya pada perlawanan akan datang.

"Risau juga semasa JDT dapat dua gol pada minit ke-17, tetapi alhamdulillah pemain ada mentaliti baik untuk lawan semula dan dapat jaringan. Selain itu, ada beberapa peluang gol di kawasan berbahaya JDT. 

"Saya bangga pemain tidak menyerah kalah dengan mudah. Mereka ada mentaliti menyerang. Kita tahu tidak mudah lawan JDT tetapi kita sudah melakukan persiapan untuk ke sini," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.

Bagaimanapun Azzmi mengakui ada perbezaan kualiti antara pemain kedua-dua pasukan, sekali gus membolehkan JDT melebarkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

"Tahniah JDT, kita tahu kemampuan mereka. Pemain kita pula dapat adaptasi dengan rentak permainan mereka. Cuma mungkin kelebihan JDT adalah kualiti pemain, itu yang membezakan," katanya.

Dalam perlawanan semalam dua jaringan JDT dihasilkan Bergson Da Silva dan satu oleh kapten pasukan itu Jordi Amat Maas, manakala NSFC memperoleh jaringan tunggal menerusi Hein Htet Aung.

Sementara itu Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata pemain pasukan itu masih belum mempamerkan kualiti sebenar mereka selaku juara Liga Super Malaysia 10 kali berturut-turut sejak 2014.

"Ia perlawanan yang sukar, terutama di separtuh masa pertama, tap[i saya percaya pemain kami akan meningkatkan prestasi pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA