Agong Berangkat Pulang Ke Tanah Air, Akhiri Lawatan Negara Di Bahrain

MANAMA (BAHRAIN), 9 Nov –- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pulang malam ini selepas menamatkan Lawatan Negara selama tiga hari ke Bahrain. Seri Paduka Baginda diiringi Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa ketika berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, Muharraq, bagi majlis perlepasan berkenaan. Lawatan Negara ini memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Bahrain dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan keselamatan. -–fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
09/11/2025 01:29 AM

Daripada Erda Khursyiah Basir

MANAMA (BAHRAIN), 8 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pulang ke tanah air pada Ahad, selepas mengakhiri lawatan negara tiga hari di Bahrain.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Lounge Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, Muharraq di sini pada 8 malam (1 pagi waktu Malaysia).

MANAMA (BAHRAIN), 9 Nov –- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pulang malam ini selepas menamatkan Lawatan Negara selama tiga hari ke Bahrain. Seri Paduka Baginda diiringi Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa ketika berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, Muharraq, bagi majlis perlepasan berkenaan. Lawatan Negara ini memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Bahrain dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan keselamatan. -–fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengiringi Sultan Ibrahim dalam lawatan itu, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj selain Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Berangkat ke lapangan terbang untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda ialah Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Rozainor Ramli.

Lawatan negara ke Bahrain yang bermula pada Khamis, ialah lawatan keenam dilaksanakan Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi.

Lawatan itu juga menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara pulau di Teluk Parsi itu, yang merupakan lawatan pertama seumpamanya sejak 1974.

Semasa lawatan tiga hari itu, Sultan Ibrahim diberi sambutan negara di Istana Sakhir.

Yang di-Pertuan Agong juga berkenan melawat Tugu Peringatan Syuhada’, sebuah lokasi penting dalam sejarah Bahrain serta Kementerian Dalam Negeri Bahrain (Kubu Polis), dengan kedua-dua program itu telah diatur khas oleh Raja Hamad untuk seorang ketua negara buat kali pertama.

Pada Jumaat malam, Raja Hamad turut meraikan Seri Paduka Baginda pada Majlis Santapan Negeri di Istana Sakhir.

Bahrain kekal antara rakan dagang utama Malaysia di rantau Asia Barat dan merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 terbesar dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

-- BERNAMA